Tuesday, November 16, 2004

REAL LIFE GOES THIS

REALLIFEGOESLIKETHIS


Aku dan filem hindustan



Sejujurnya saya tiada keinginan langsung untuk menulis hal-hal begini. REMEH-TEMEH. Hal bodoh dan nampak main-main. Saya tengah serabut! Banyak masalah nak diselesaikan, lagi banyak yang perlu difikirkan. Bercakap pasal hindustan, pasal filem hindi buat kisah saya jadi bukan-bukan, dan lebih menakutkan..
perlu diabaikan


Saya ini pelajar universiti. PELAJAR PSIKOLOGI. Bijak pandai, dipuji, disanjung orang. Menulis bab-bab ini hanyalah menjatuhkan reputasi diri. Saya ini tiap-tiap hari baca buku. Al-Muqaddimah karya Ibnu khaldun dan Al-Umm karangan Imam Syafie cuma teman saya waktu tidur. Apatah lagi setakat novel-novel Dean Kontz atau Kafka. Stephen King cuma bahan ketawa saja. "Tak cukup imaginatif" kata saya.

Mana ada masa untuk saya jiwang-jiwang dan melayan cerita karut. Kita perlu realistik!. Saya ini anti AF, anti Malaysian Idol dan anti segala anti lagi.

Tapi semalam saya tonton filem hindustan. Cerita hindustan bukannya sejam dua, malahan tiga jam. Tiga jam! Oh, alangkah membazirnya masa saya. Saya pun dah jadi bodoh dan bangang juga. Nak lebih terkejut, saya tonton DUA filem Hindustan. DUA. TWO. ISNANI. (Oh, malang sekali saya tak tahu apa panggilannya 'dua' dalam bahasa Hindi).

Dil To Pagal Hei dan juga Kaho Na Pyar Hei (entah betul entah tidak ejaannya). Kenapa dua tajuk itu? Jangan main-main, saya buat kajian.

Sebelum memilih dua tajuk filem tersebut, saya habiskan masa lebih kurang 3 jam melayari internet (dan membazirkan masa lagi). Saya ini kritikal orangnya. Saya telefon beberapa teman wanita yang sudah ditinggalkan. Alasannya: Mengucapkan Selamat Hari Raya. Waktu menelefon itulah saya menanyakan nama filem yang sesuai (Inilah namanya menyelam sambil minum air... masa saya telefon itu memang saya minum air sirap).

Selepas membuat kajian teliti dan telah men short-listed kan senarai filem-filem yang sesuai, saya pun mula mencari filem-filem itu. Sebenarnya Kuch Kuch Hota Hei berada di puncak liga, tapi memandangkan saya pernah menonton filem itu entah 4 atau 5 tahun yang lalu, saya pun meneruskan kepada No 2 dan 3 carta.

Permasalahan lain timbul, mana mahu dapatkan cd? Oh, jangan harap saya mahu keluarkan duit untuk membeli. Keluarga saya (yang berjantina wanita) kurang minat dengan Hindustan, mereka lebih minat melihat telenova. Jadi, saya perah-perah otak dan akhirnya berjaya mendapat seorang sahabat lelaki saya yang punya banyak koleksi Hindustan.

Sekali lagi menyelam sambil minum air, saya melawat rumah sahabat itu sambil meminjam cd. Dan semalam berjayalah saya menonton DUA filem Hindustan! Hebatnya saya :)

Bagi ramai orang menonton Hindustanlah perbuatan paling mudah, paling menyenangkan dan langsung tak merunsingkan. Saya terbalik. Saya jadi gila. Kalau manusia benci berfikir, saya gila berfikir. Apa lagi yang lebih gila kalau tidak menonton sebuah kisah dongeng dengan seribu cerita bohong dan kalian tak dibenar mengkritik?

Tak ramai berani bawa saya menonton filem. Saya ini kaki kutuk. Kalau menonton cerita Melayu dan Hindustan, bahkan rekabentuk cd saya kutuk. Jahatnya saya. Tak bersemangat 'memandang ke timurnya'saya.

Tapi semalam, saya benar-benar menonton DUA filem Hindustan. Tipulah jika saya cakap penuh kerana 8,9 lagu satu filem buat saya hilang plot. Tapi saya benar-benar tonton. bahkan saya tak kutuk, saya menghayati! Dahlah saya tonton malam-malam buta, seorang diri pula. Dahlah dvd The Incredibles menggoda-goda saya, tapi saya tetap setia menonton Hindustan.

Kenapa? Mesti ada alasan? Saya ini raja strategi :)

Sungguh-sungguh saya runsing. Dengan penyakit tak kunjung kebah setelah bertahun-tahun. Dengan pelajaran yang tiba-tiba jadi kelabu. Dengan manusia-manusia yang mahu saya fikirkan tentang mereka. Dengan diri sendiri yang tak putus-putus ditimpa susah dan payah.

Saya jadi pesimis. Saya pandang dunia tak berharapan. Saya pandang setiap balik senyuman, ada niat tak terbaca. Setiap kejayaan, hanyalah menunggu kegagalan. Dengan buku-buku yang berat-berat yang saya baca, kepala saya jadi lebih berat. Penuh idea. Penuh keinginan. Sendat otak.

Saya nak berehat. Saya pulang rumah mahu berehat. Mahu tenang-tenang. Tapi harapan saya tak menjadi kenyataan. Saya ke masjid. Saya berdoa. Saya juga nyanyi :

Tobang satu, robahnya duo. Tobangnya kayu timpo menimpo


Tenangkan hati si hamba Allah. Seperti hati ya Rasulullah.

Saya minta pendapat orang. Tapi ibubapa saya lebih kepada pasif atau bila aktif, mengkritik terlalu kuat. Saya jadi lebih lemas. Saya telefon penasihat peribadi saya, ternyata kami tiada jodoh pula :) Ada saja halangannya. Mungkin sumpahan itu bertukar bentuk pula zaman moden ini :)

Lalu dua malam yang lepas, Humaira menelefon saya. Sejujurnya saya enggan bercakap kerana ingatkan dia buat saya lebih runsing. Buat saya ingat pula yang lain-lain di luar sana. Tapi raikan teman, saya berbual jua. Humairalah yang cadangkan pada saya : Cuba tonton filem Hindustan.

Apa yang saya nampak adalah perkara yang mungkin orang lain takkan nampak. Kerna melihat dengan mata, samada mengkritik atau neutral manakan sama dengan melihat dengan hati.

Apa yang saya cari adalah harapan. Sesuatu yang saya sudah lama tidak percaya. Payah, susah buat saya tak rasa bahawa harapan itu wujud. Bagi saya harapan itu milik si bodoh. Yang bermimpi. Namun lama kelamaan, saya sedar saya perlukan harapan. Saya perlu sesuatu yang mustahil jika ikut akal. Saya mahu kekuatan daripada hati saya. Kerna makin saya keraskan hati, makin kosong rasanya hidup ini.

Luarbiasanya adalah Tuhan mengajar saya melalui hal yang saya paling bencikan. Saya tidak sukakan Hindustan tapi melaluinyalah saya nampak cahaya. Saya rasa lebih tenang. Seolah-olah saya lebih dekat dengan tuhan.

:) Oh, jangan salah faham. Saya tak suruh kalian menonton Hindustan. Saya cuma mahu katakan: Petunjuk itu ada. Dan kekadang kita perlu mencari, bahkan harapan itu sendiri :)